Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa. Seterusnya marilah kita menghayati peristiwa Isra’ dan Mi’raj dengan kita sama-sama mendengar dan menghayati firman Allah dari surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: "Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad s.a.w.) pada malam hari dari masjidil haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa di Palastin yang kami berkati di sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang amat mendengar lagi mengetahui."
Marilah kita mengambil pengajaran daripada peristiwa besar yang bukan sahaja kepada Rasulullah s.a.w. bahkan kepada manusia seluruhnya. Peristiwa Rasulullah s.a.w. dijemput pada malam yang dikenali dengan Isra’ dan Mikraj untuk menjadi tetamu Allah S.W.T. ditunjukkan kepadanya kebesaran Allah S.W.T. yang tiada tandingan dan tiada bandingan, ditunjukkan alam dunia, alam barzakh, alam akhirat, alam bumi dan alam langit. Seterusnya bertemu dengan Allah S.W.T. sebelum diperintah dengan kewajipan menunaikan sembahyang lima waktu.
Peristiwa besar ini sepatutnya menyedarkan kita semua, supaya kita tidak mudah menyangka, bahawa cukup dengan hanya kita berada di alam dunia yang sempit ini, yang dirasakan terlalu luas, dengan kita tidak menyedari bahawa alam dunia ini mempunyai hubungan dengan alam akhirat, dan dengan alam di antara dunia dan akhirat, yang dikenali dengan alam barzakh. Sesungguhnya bumi tempat kita berpijak mempunyai hubungan dengan langit dan segala makhluknya. Semuanya berada di bawah pemerintahan Allah S.W.T. Tuhan yang memiliki kerajaan yang maha agong yang tiada tandingan dan bandingan.
Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. itulah ajaran seluruh para nabi dan para Rasul a.s. mengajar manusia bahawa mereka mestilah menyerah diri kepada Allah S.W.T. sebagaimana makhluk langit dan bumi menyerah diri kepada Allah S.W.T.
Firman Allah dari surah al-Baqarah ayat 116 yang bermaksud: "Bahkan Dialah yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaannya."
Maka haram dan tidak sepatutnya bagi manusia yang menjadi satu juzuk yang terlalu kecil di kalangan makhluk Allah yang banyak, tidak patuh kepada Allah S.W.T. Semua makhluk mestilah tunduk dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah Tuhan yang mencipta mereka, di samping mereka menyerah diri dengan melakukan seluruh tuntutan ibadat: Rukuk, sujud, bertasbih, bertahmid, bertakbir, memulia dan membesarkan Allah S.W.T, Tuhan yang mengurniakan kepada mereka segala kurniaan yang tidak terhingga banyaknya.
Firman Allah dari surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang engkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat tuhannya."
Perlu diingati bahawa, kita tidak akan wujud di dunia ini kalau Allah tidak mencipta kita, kita akan lapar kalau Allah tidak memberi rezeki makanan kepada kita, kita akan dahaga kalau Allah tidak memberi minum kepada kita, kita akan tidak berpakaian kalau Allah tidak memberi rezeki pakaian kepada kita, kita akan bodoh kalau Allah tidak memberi akal fikiran dan ilmu kepada kita, kita akan sesat kalau Allah tidak memberi petunjuk kepada kita. Oleh kerana itu segala-gala yang ada pada kita termasuk iman dan Islam adalah nikmat dari Allah S.W.T. yang mesti disyukuri.
Maka tidak ada alasan bagi manusia yang merupakan makhluk yang kecil yang berada di tengah-tengah makhluk yang besar untuk mengadakan cara hidup sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah S.W.T. Terlalu besar dosa bagi mereka apabila mereka melakukan kesalahan. Kesalahan yang terlalu besar dosanya apabila mereka menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, mereka memuji dan memuja yang lain daripada Allah, mereka mengharapkan rezeki dan kurnia yang lain daripada Allah, dan mereka menyerah diri kepada yang lain daripada Allah.
Alangkah besar dosanya, sekiranya kita manusia tidak menyedari bahawa diri kita sebagai manusia, dan tidak menyedari segala yang ada pada kita adalah pemberian dari Allah S.W.T. Peristiwa Isra’ dan Mikraj yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. pada malam baginda menjadi tetamu Allah S.W.T. telah menunjukkan kepada baginda orang-orang yang mulia di kalangan manusia, iaitu nabi-nabi dan Rasul-rasul a.s. ditunjukkan juga sejahat-jahat makhluk di kalangan manusia yang tenggelam di dalam kekufuran dan nafsu bersama-sama dengan iblis dan ditunjukkan di mana mereka semuanya. Di dalam peristiwa ini juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. orang-orang yang baik dan mulia ditempatkan ke dalam syurga, orang yang jahat dan hina, ditempatkan ke dalam neraka.
Segala peristiwa itu, hendaklah menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita, jangan sekadar peristiwa Isra’ dan Mikraj itu menjadi cerita untuk sedap didengar, sedap dibaca, dan hanya menjadi hiburan sementara waktu semata-mata. Marilah kita jadikan pengajaran yang terkandung di dalamnya sebagai pertunjuk, bukan sahaja kepada Nabi Muhammad s.a.w. tetapi juga kepada kita umat Islam.
Terlalu banyak perkara yang berlaku dan ditunjuk pada malam tersebut, hanya satu malam sahaja, tetapi panjangnya dari dunia sehingga akhirat, dari hidup sehingga mati, dari bumi sehingga langit, dari alam manusia sehingga alam malaikat, dan alam roh, sehingga mengadap Allah S.W.T. Itulah peristiwa Isra’ dan Mikraj. Marilah kita menjadikannya sebagai pengajaran dan pengiktibaran yang paling besar dengan kita menghayati peristiwa itu.
Firman Allah dari surah Al-Isra’ ayat 60 yang bermaksud: "Dan tiadalah kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan (demikian juga kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam al-Quran, dan kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran). Maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau."