Selasa, 31 Mei 2011

Pengajaran Isra' dan Mi'raj


Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa. Seterusnya marilah kita menghayati peristiwa Isra’ dan Mi’raj dengan kita sama-sama mendengar dan menghayati firman Allah dari surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: "Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad s.a.w.) pada malam hari dari masjidil haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa di Palastin yang kami berkati di sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang amat mendengar lagi mengetahui."
Marilah kita mengambil pengajaran daripada peristiwa besar yang bukan sahaja kepada Rasulullah s.a.w. bahkan kepada manusia seluruhnya. Peristiwa Rasulullah s.a.w. dijemput pada malam yang dikenali dengan Isra’ dan Mikraj untuk menjadi tetamu Allah S.W.T. ditunjukkan kepadanya kebesaran Allah S.W.T. yang tiada tandingan dan tiada bandingan, ditunjukkan alam dunia, alam barzakh, alam akhirat, alam bumi dan alam langit. Seterusnya bertemu dengan Allah S.W.T. sebelum diperintah dengan kewajipan menunaikan sembahyang lima waktu.
Peristiwa besar ini sepatutnya menyedarkan kita semua, supaya kita tidak mudah menyangka, bahawa cukup dengan hanya kita berada di alam dunia yang sempit ini, yang dirasakan terlalu luas, dengan kita tidak menyedari bahawa alam dunia ini mempunyai hubungan dengan alam akhirat, dan dengan alam di antara dunia dan akhirat, yang dikenali dengan alam barzakh. Sesungguhnya bumi tempat kita berpijak mempunyai hubungan dengan langit dan segala makhluknya. Semuanya berada di bawah pemerintahan Allah S.W.T. Tuhan yang memiliki kerajaan yang maha agong yang tiada tandingan dan bandingan.
Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. itulah ajaran seluruh para nabi dan para Rasul a.s. mengajar manusia bahawa mereka mestilah menyerah diri kepada Allah S.W.T. sebagaimana makhluk langit dan bumi menyerah diri kepada Allah S.W.T.
Firman Allah dari surah al-Baqarah ayat 116 yang bermaksud: "Bahkan Dialah yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaannya."
Maka haram dan tidak sepatutnya bagi manusia yang menjadi satu juzuk yang terlalu kecil di kalangan makhluk Allah yang banyak, tidak patuh kepada Allah S.W.T. Semua makhluk mestilah tunduk dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah Tuhan yang mencipta mereka, di samping mereka menyerah diri dengan melakukan seluruh tuntutan ibadat: Rukuk, sujud, bertasbih, bertahmid, bertakbir, memulia dan membesarkan Allah S.W.T, Tuhan yang mengurniakan kepada mereka segala kurniaan yang tidak terhingga banyaknya.
Firman Allah dari surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang engkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat tuhannya."
Perlu diingati bahawa, kita tidak akan wujud di dunia ini kalau Allah tidak mencipta kita, kita akan lapar kalau Allah tidak memberi rezeki makanan kepada kita, kita akan dahaga kalau Allah tidak memberi minum kepada kita, kita akan tidak berpakaian kalau Allah tidak memberi rezeki pakaian kepada kita, kita akan bodoh kalau Allah tidak memberi akal fikiran dan ilmu kepada kita, kita akan sesat kalau Allah tidak memberi petunjuk kepada kita. Oleh kerana itu segala-gala yang ada pada kita termasuk iman dan Islam adalah nikmat dari Allah S.W.T. yang mesti disyukuri.
Maka tidak ada alasan bagi manusia yang merupakan makhluk yang kecil yang berada di tengah-tengah makhluk yang besar untuk mengadakan cara hidup sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah S.W.T. Terlalu besar dosa bagi mereka apabila mereka melakukan kesalahan. Kesalahan yang terlalu besar dosanya apabila mereka menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, mereka memuji dan memuja yang lain daripada Allah, mereka mengharapkan rezeki dan kurnia yang lain daripada Allah, dan mereka menyerah diri kepada yang lain daripada Allah.
Alangkah besar dosanya, sekiranya kita manusia tidak menyedari bahawa diri kita sebagai manusia, dan tidak menyedari segala yang ada pada kita adalah pemberian dari Allah S.W.T. Peristiwa Isra’ dan Mikraj yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. pada malam baginda menjadi tetamu Allah S.W.T. telah menunjukkan kepada baginda orang-orang yang mulia di kalangan manusia, iaitu nabi-nabi dan Rasul-rasul a.s. ditunjukkan juga sejahat-jahat makhluk di kalangan manusia yang tenggelam di dalam kekufuran dan nafsu bersama-sama dengan iblis dan ditunjukkan di mana mereka semuanya. Di dalam peristiwa ini juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. orang-orang yang baik dan mulia ditempatkan ke dalam syurga, orang yang jahat dan hina, ditempatkan ke dalam neraka.
Segala peristiwa itu, hendaklah menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita, jangan sekadar peristiwa Isra’ dan Mikraj itu menjadi cerita untuk sedap didengar, sedap dibaca, dan hanya menjadi hiburan sementara waktu semata-mata. Marilah kita jadikan pengajaran yang terkandung di dalamnya sebagai pertunjuk, bukan sahaja kepada Nabi Muhammad s.a.w. tetapi juga kepada kita umat Islam.
Terlalu banyak perkara yang berlaku dan ditunjuk pada malam tersebut, hanya satu malam sahaja, tetapi panjangnya dari dunia sehingga akhirat, dari hidup sehingga mati, dari bumi sehingga langit, dari alam manusia sehingga alam malaikat, dan alam roh, sehingga mengadap Allah S.W.T. Itulah peristiwa Isra’ dan Mikraj. Marilah kita menjadikannya sebagai pengajaran dan pengiktibaran yang paling besar dengan kita menghayati peristiwa itu.
Firman Allah dari surah Al-Isra’ ayat 60 yang bermaksud: "Dan tiadalah kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan (demikian juga kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam al-Quran, dan kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran). Maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau."



Peristiwa Isra' dan Mi'raj

Assalamualaikum wrh wbth,
     Tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku suatu peristiwa yang sangant penting dalam sejarah Islam iaitu peristiwa isra' dan mikraj di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra' yang bermaksud : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
   Isra' membawa pengertian perjalan nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dengan menaiki Burak bermula dari masji al-Haram di Mekah ke masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.
      Manakala Mikraj membawa maksud naiknya nabi s.a.w ke langit dari masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.
       Para ulama' hadis, ulama' feqah dan ulama'  tafsir  secara umum menegaskan bahawa perisitiwa isra' dan mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda s.a.w sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan ruh nabi s.a.w bukannya ruh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan " asra bi 'abdihi lailan " yang bermaksud memperjalankan hambaNya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu nabi Muhammad s.a.w yang mana meliputi batang tubuh dan ruhnya serentak bukannya ruhnya sahaja.Jika ia berlaku pada ruhnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi " asra bi ruhi 'abdihi lailan " yang bermaksud memperjalankan ruh hambaNya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hambaNya iaitu nabi s.a.w dalam keadaan tubuh dan ruhnya serentak.
      Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasulNya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.
      Setelah baginda s.a.w menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda s.a.w. Fitnah terhadap baginda s.a.w bertambah kuat malah ramai juga di kalangan mereka yang sebelum telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda s.a.w maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh nabi s.a.w lalu beliau dengan tegas menyatakan : " Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda s.a.w mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jaubh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya ". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasulNya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.
      Demikianlah peristiwa isra' dan mikraj ini merupakan satu ujian dan proses pemisahan antara mereka yang benar-benar beriman dengan mereka yang tipis imannya dan kufur terhadap Allah dan rasulNya. Ramai di kalangan mereka yang sebelum ini menyatkan keimanan mereka tetapi setelah mendengar penjelasan Rasulullah s.a.w tentang peristiwa isra' dan mikraj, mereka menjadi murtad.Walau pun ramai yang telah murtad namun Rasulullah s.a.w tidak dapat mengambil tindakan ke atas mereka kerana baginda s.a.w tidak mempunyai kuasa pada masa itu. Sedangkan jika kita baca satu lagu kisah yang berlaku selepas baginda menjadi ketua Daulah Islamiah di Madinah Munawwarah di mana selepas Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa baginda telah di isra' kan oleh Allah maka ada seorang yang meminta supaya nabi s.a.w mengangkatkan kaki kanannya lalu baginda s.a.w terus melakukanya. Orang itu menyuruh lagi agar nabi mengangkat kaki kirinya tanpa meletakkan kaki kanannya. Mendengar permintaan itu lalu nabi s.a.w menyatakan bahawa baginda tidak mampu mengangkat kedua kakinya secara serentak. Setelah mendengar kata-kata nabi s.a.w itu maka orang itu terus mengatakan bagaimana kita boleh mempercayai bahawa nabi s.a.w telah di isra' kan sedangkan untuk mengangkat kakinya secara serentak pun baginda tidak mampu.Mendengar penjelasan daripada orang itu lalu baginda s.aw meminta agar dia menemui Sayyidina Umar al-Khottab. Setelah menemui Sayyidina Umar dan memberi penjelasan dengan apa yang telah berlaku lalu beliau terus masuk ke rumahnya untuk mengambil pedang. Ketika keluar dari rumahnya bersama dengan pedang yang terhunus lalu tanpa banyak berbicara  beliau terus memancung kepala orang itu. Melihat peristiwa itu lantas orang ramai bertanya Sayyidina Umar mengenai tindakan yang telah dilakukan terhadap orang itu. Sayyidina Umar dengan tegas menyatakan bahawa dia bukanlah orang yang lebih alim daripada Rasulullah s.a.w dalam masalah Isra' mikraj tetapi baginda s.a.w menghantar orang itu kepadanya untuk dipancung kerana telah murtad bukannya untuk menerangkan masalah isra' dan mikraj. Kita dapat lihat bagaimana apabila adanya kuasa maka Rasulullah s.a.w dapat mengambil tindakan ke atas mereka yang melanggar ketetapan Allah. Berkesinambungan daripada inilah kita dapat memahami bahawa dalam melaksanakan Islam yang sebenar maka mestilah bertunjang kepada kuasa bagi memastikan konsep amar makruf dan nahi munkar dapat berjalan lancar bukan sebagaimana hari ini di mana hanya amar makruf atau menyuruh membuat kebaikan sahaja yang telah dijalankan oleh pihak berkuasa sedangkan nahi munkar dengan menutup pusat hiburan, membasmi placuran, menghadkan penjualan arak dan sebagainya tidak dilaksanakan.
   Sepanjang perjalanan Isra' dan mikraj, Rasulullah s.a.w telah disaksikan beberapa gambaran perilaku umat manusia samada mereka beriman atau pun tidak. Salah satu peristiwa yang wajar untuk kita sama-sama ambil iktibar ialah apabila baginda s.a.w telah tercium bauan harum Mashitah dan kelaurga yang telah gugur syahid kerana mempertahankan keimanan kepada Allah dan sanggup berhadapan dengan Firaun yang zalim. Mereka lebih sanggup dihumbankan ke dalam kawah yang bergelegak panas demi Allah daripada menerima azab Allah yang lebih pedih jika tunduk kepada Firaun yang sesat itu. Jika kita menghayati peristiwa yang berlaku ke atas Mashitah dan keluarganya ini maka kita akan merasa begitu kerdil sekali berbanding pengorbanan tinggi Mashitah seorang penyikat rambut anak perempuan Firaun dan mendapat gaji daripada Firaun tetapi tetap mempertahankan imannya.Kita belum lagi diminta terjun kawah panas tetapi apabila diugut sesuatu yang menggugat kerjaya di mana kita terus gelabah dan senyap. Tidak kurang yang terus terhutang budi kepada pemimpin walau pun mereka zalim semata-mata kita lihat merekalah yang memberi gaji kepada kita dan mesti ditaati walau pun sudah jelas kezaliman dan kesesatan yang dilakukan di hadapan mata. Fikiran waras kita seperti tidak dapat mengukur dimanakah perbezaan antara tanggungjawab atau amanah dengan sumbangan. Kita seperti lupa bahawa Allah sebenarnya pemberi rezeki dan mesti disembah bukannya pemimpin yang menjalankan amanah diangkat sebagai  pemberi rezeki yang mesti disembah dan ditaati.Ingatlah bahawa jika kita benar-benar sayangkan Islam dan mahu ia diletakkan disinggahsananya yang sebenar maka sebarang ugutan, tindakan dan sebagainya ke atas kita mestilah diharungi dengan penuh kesabaran kerana kemenangan Islam pasti tiba dan kita yang berjuang ini jika kalah di dunia tetapi habuan akhirat tetap menunggu kita dengan syarat kita bersungguh-sungguh, yakin, sabar dan ikhlas kepada Allah.
   Dalam peristiwa ini Allah telah mewajibkan kita untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Sebab ityulah solat dikenali sebagai mikraj mukmin kerana ia satu-satunya ibadat fardhu yang diterima semasa mikraj sedangkan ibadat fardhu lain seperti puasa, zakat dan haji hanya difardhukan ketika Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah selepas peristiwa ini. Mengenai dakwaan mereka yang jahil dan terkeliru dengan pembawaan pemimpin yang jahil yang mengatakan bahawa ibadat tidak ada kaitannya dengan kepimpinan. Jika betul dakwaan mereka mengapakah cuti hari Jumaat yang ditukar kepada hari Ahad telah menyebabkan kesulitan kepada pekerja Islam untuk menunaikan solat Jumaat. Malah ada majikan yang berani menghalang pekerjanya daripada menunaikan solat Jumaat dan tidak kurang juga yang membuat peraturan supaya pekerjanya mengerjakan solat Jumaat mengikut giliran mingguan. Mengapakah majikan ini begitu berani membuat peraturan yang mana secara teran-terangan menghina Islam dan menghalang kebebasan beragama sedangkan telah tercatat di perlembagaan Malaysia bahawa Islam adalah agama rasmi dan juga rakyat diberikan kebebasan beragama. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana pemimpin negara yang tidak bertanggungjawab terhadap agama dan takut untuk mengambil tindakan terhadap majikan dan syarikat terbabit kerana  terhutang budi kepada majikan yang telah banyak membantu mereka dalam mengaut keuntungan. Adakah pemimpin seperti ini akan terus diberikan kepercayaan untuk melaksanakan Islam atau telah timbul kesedaran dalam diri kita semua untuk sama-sama menabalkan para ulama' sebagai pengganti kepada pemimpin yang jahil dan zalim itu dalam memegang tapuk pemerintahan negara yang kita sayangi ini.Ingatlah bahawa setiap usaha kita dalam memastikan Islam berjaya dijunjung akan diberikan ganjaran yag besar di sisi Allah sedangkan mereka yag cuba menyekat Islam daripada bebas untuk dilaksanakan disetiap lapangan kehidupan pasti akan dikalahkan di dunia serta akan diazabkan diakhirat nanti.
     Renungilah firman Allah dalam  ayat 8 surah as-Sof yang bermaksud : Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir membenci.

Ahad, 29 Mei 2011

Asal Usul Sek. Keb. Chiku 03

Bermulanya pembukaan tanah baru di kawasan hulu negeri Kelantan, telah banyak memberi peluang-peluang pekerjaan dan penempatan baru. Ini termasuklah di kawasan Gugusan Felda Chiku. Dari situlah lahirnya kepentingan memberi pendidikan kepada anak-anak peneroka..

Sekolah ini mula dibuka pada 1.1.1987. Pada awalnya ia merupakan sekolah cawangan di bawah kelolaan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Chiku 02. Guru besar yang pertama ialah En. Jaafar B. Yussof. Sekolah ini bermula dengan 10 bilik darjah yang di tempatkan sementara di bangunan lama Pejabat Felda Chiku 03.

Sekolah ini dimerdekakan pada 1.4.1988. Masih berada di lokasi lama tetapi sudah mendapat bangunan tambahan untuk menampung bilangan murid yang bertambah dengan pesat. Tuan Haji Mat Hussain b. Awang Hamat telah dilantik menjadi Guru besar yang pertama selepas dimerdekakan. Beliau bersara secara pilihan pada 31.12.1993.

Satu lokasi baru telah dikenalpasti untuk membina bangunan baru. Sebidang tapak seluas 13.22 ekar di Bandar Baru Chiku dikenal pasti. Bermula dengan detik inilah sekolah ini diberi nama Sekolah Kebangsaan Chiku 03 pada 1.12.1991. Nama ini diberi bertepatan sekali dengan lokasi sekolah ini yang terletak di kawasan Felda Chiku 03.Tambahan pula pada suatu waktu kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok ciku.